
Salam Sejahtera..
Mimpi!
Saya yakin semua orang pernah bermimpi. Seingat saya, sungguh banyak mimpi saya semenjak dari kecil.
Bila menonton Cinderella, saya mengimpikan menjadi puteri yang bertuah..Bila menonton cerita bawang putih bawang merah, saya ingin menjadi seperti bawang merah yang baik hati dan mendapat pengakhiran hidup yang baik.
Bila menonton cerita Kesatria Baja hitam dan Ultraman, saya ingin menjadi seperti mereka juga. :)
Saya juga mengimpikan untuk bermain salji. Juga menaiki kapal terbang melancong ke luar negara. Tinggal di rumah mewah dan banyak lagi.
Ada mimpi yang mampu kita gapai, jadi bolehlah kita panggil mimpi-mimpi itu sebagai satu impian. Namun ada juga mimpi yang memang takkan mampu kita gapai dan kita namakannya khayalan seperti berharap agar mempunyai supernatural power yang ada pada Superman misalnya.
Mimpi memasuki universiti dan mimpi menjadi pensyarah dan macam-macam mimpi lagi.
Seingat saya, mimpi untuk bermain salji semenjak 20 tahun yang silam telah menjadi kenyataan hari ini. Juga mimpi melawat Europe. Mimpi bermain salji, saya jangkakan itu mustahil buat saya namun Allah makbulkan. Alhamdulillah.
Saya yakin anda juga pernah menganyam mimpi-mimpi indah yang sebahagiannya telah menjadi kenyataan hari ini. Allah akan memakbulkan doa kita, segera atau lambat, dan bagi doa yang belum dimakbulkan, teruslah berharap dan berdoa kepada Allah. Jika Allah tidak beri apa yang kita pinta, percayalah Allah sediakan untuk kita perkara yang lebih baik dan sesuai buat kita. Bersabarlah dan teruslah menganyam mimpi-mimpi.
Khayalan adalah satu perkara yang seeloknya kita jauhi kerana ia hanya merugikan masa. Jadi, masa untuk berkhayal itu kita boleh gunakan untuk berusaha bagi mencapai mimpi-mimpi kita. Belajar dengan bersungguh-sungguh bagi mencapai impian lebih baik daripada berkhayal mendapat Anugerah Dekan tapi tidur dan makan lebih banyak daripada mengulangkaji pelajaran.
Namun, jika difikir-fikirkan kembali, sebenarnya mimpi yang paling membahagiakan adalah mimpi untuk ke syurgaNya. Mimpi untuk bahagia di akhirat sana. Mimpi untuk menikmati kehidupan yang sangat indah di negeri yang tidak akan hancur selama-lamanya. Bukankah begitu? Rugilah kiranya jika kita tidak jadikan dunia ini sebagai ladang untuk dituai hasilnya di akhirat kelak.
Orang yang bijak ialah orang yang menahan dirinya dan beramal untuk selepas matinya, manakala orang yang bodoh ialah orang yang mengikut hawa nafsu dan berangan-angan ke atas Allah.
Marilah kita terus menganyam mimpi..moga mimpi itu dinilai Allah sebagai doa dari kita, hambaNya yang lemah..yang sentiasa mengharapkan rahmat dari Nya dalam setiap langkahan kita di sepanjang kehidupan ini.
Yang masih punya mimpi
-Najhan-

No comments:
Post a Comment