Friday, 31 July 2009

Syukurku...MilikMu..


SEMPENA HARI LAHIR SAYA ( 28th of July)..

Tersenyum sendiri mengenang nikmat Allah yang tidak putus-putus..kurniaanNya kepada saya..

Tersenyum kerana syahdu...
syahdu kerana dipilihNya untuk dilahirkan dalam agama ini..tanpa perlu bersusah-susah mencari jalan yang penuh cahaya ini..
sedang insan lain masih meraba-raba dalam kegelapan nurani..
syahdu kerana memberiku kefahaman tentang deen yang benar ini..
sedang insan lain masih mencari-cari nilai agama yang mereka anuti..
syahdu aku di atas jalan perjuangan penuh duri..
walau di sana terhampar permaidani duniawi..

Tersenyum kerana bahagia..
bahagia dengan jalan yang dipilihNya untukku lalui..
walau dahulu mungkin pernahku sesali..
bahagia dengan hadiah-hadiahNya untukku selama ini..
walau aku tidak layak untuk semua ini..
bahagia aku dengan basahan iman dariMu Ilahi...
tak ternilai anugerahMu ya Rabbi..

Tersenyum walau mataku berkaca-kaca..
Kau Maha Pemurah..ya Allah..
Kau Maha Penyayang ..ya Allah..
Kau Maha Pengampun..ya Allah..
aku hina..dengan dosa..
namun Kau beriku bahagia..
aku hina..dengan alpaku terhadap nikmatMu..
namun nikmatMu buatku tidak terkira..
aku hina..bila beribu janjiku padaMu kudustai...
masih Kau beriku peluang untuk kembali..

Sungguh, syukur itu membawa bahagia ke dalam hati..
Sungguh, syukur itu menggembirakan diri..
Sungguh, syukur itu membawa diri mengabdikan seluruh kehidupan ini untuk Ilahi..


وَإِذۡ تَأَذَّنَ رَبُّكُمۡ لَٮِٕن شَڪَرۡتُمۡ لَأَزِيدَنَّكُمۡ‌ۖ وَلَٮِٕن ڪَفَرۡتُمۡ إِنَّ عَذَابِى لَشَدِيدٌ۬ 
Dan ingatlah ketika Tuhanmu memaklumkan, " Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmatKu), maka pastinya azabku sangat berat.
(Ibrahim:ayat 7)

Syukur bukan hanya di hati..mahupun di bibir..ia harus dibuktikan..
solatlah..bacalah al-Quran..berbuat baiklah dengan sahabat dan jiran..bersifat ihsanlah..jadikanlah islam cara hidup dan neraca peribadi..berkorbanlah dengan jiwa dan diri..untuk ISLAM!!..insyaAllah..


sungguh..medan amal itu tidak sama dengan medan kata-kata
-Najhan-

Thursday, 23 July 2009

Bila Hati Diuji Lagi..

Salam alaikum..

Minggu lepas anak sulung saya terjatuh sewaktu berlari di taman. Beliau terpaksa di bawa ke accident n emergency clinic (A&E) pada malam esoknya. Hari Selasa ke Fracture Clinic dan alhamdulillah tiada masalah. Hari Rabu ke Heron Practice untuk immunisation anak ke dua saya yang berumur 14 bulan. Malam itu, badannya menggeletar................

Itu merupakan salah satu contoh masalah yang dihadapi dalam kehidupan ini. Saya percaya setiap individu mempunyai masalahnya yang tersendiri. Ada yang mampu ditangani dan ada masalah yang disimpan dan dibiarkan tanpa penyelesaian.
Bila kita bertanya pada diri, bagaimanakah kita memandang sesuatu masalah itu. Kenalpasti masalah dan cubalah cari penyelesaian tapi jangan lupa pohonlah petunjukNya.
Saya juga percaya, dugaan yang saya hadapi hari ini bukanlah apa-apa jikalau dibandingkan dengan dugaan yang dihadapi oleh orang-orang yang hebat di dunia ini. Lebih hebat seseorang itu, lebih tinggilah ujiannya.
Rasulullah saw misalnya, manusia paling agung yang cabarannya juga sangat 'agung'. Bila saya menatap kisah-kisah Nabi Muhammad dalam buku ar-Rahiq al-Makhtum dan juga dalam buku-buku sirah lain, masyaAllah, tak terasa air mata mengalir membasahi pipi mengenangkan betapa hebatnya cabaran dan hebatnya ganjaran yang bakal diperolehi oleh baginda dan sahabat-sahabat.

Satu ayat al-Quran yang saya selalu ulangi apabila berhadapan dengan masalah ialah surah al-insyirah : ayat 5 dan 6.

فَإِنَّ مَعَ ٱلۡعُسۡرِ يُسۡرًا (٥) إِنَّ مَعَ ٱلۡعُسۡرِ يُسۡرً۬ا (٦
Maka
sesungguhnya bersama kesusahan itu, ada kesenangan .Sesungguhnya bersama kesusahan itu, ada kesenangan.

Hati saya menjadi tenang kerana saya tahu, Allah Maha Suci daripada sifat zalim. Allah takkan menzalimi hambanya.

Sepanjang kehidupan ini, sudah banyak keajaiban ujian yang saya saksikan. Bagaimana Allah menguji saya dengan meremukkan hati saya dengan cinta dunia namun menggantinya dengan cinta yang lebih tulus, lebih mulus. Masih terngiang ucapan suami saya ," Abang minta di hadapan kaabah untuk permudahkan abang untuk kahwin, dan Allah pilih Najhan."

Allah uji saya dengan meletakkan saya di bumi yang jauh dari keluarga, dari tanah kelahiran. Di waktu kawan-kawan saya membina kerjaya, saya hanya di rumah mencuci pinggan dan membasuh pakaian, sedang cita-cita saya masih tersemat jauh di hati. Namun, Allah gantikan ke dalam diri saya tarbiyyah yang tidak putus-putus daripada suami dan sahabat. Di mana tarbiyyah yang saya tak mungkin jumpa jika saya tidak berada di sini. Allah anugerahkan saya dengan dua anak yang comel. Permata hati kami berdua. Sungguh, bersama kesusahan itu ada kesenangan.

Bila susah, kembalilah pada Allah..bila senang, jangan sekali-kali lupakan Allah.

Jadi, jika anda yang membaca coretan ini mempunyai masalah yang menghantui...Percayalah Allah menyediakan pelangi yang indah buat anda selepas memberi anda hujan, dan petir yang menyambar.



Bila Penyesalan Bergelodak...


Salam kepada semua..

Cuma ingin bercerita tentang diri..menitip kembali makna hidup ini..
Bila menoleh ke belakang..memang kuakui, banyak sekali peristiwa di dalam hidup ini yang ingin di'reset' kalau Allah izinkan untukku kembali..
Bila menatap kalamullah..surah anNaba: 40

إِنَّآ أَنذَرۡنَـٰكُمۡ عَذَابً۬ا قَرِيبً۬ا يَوۡمَ يَنظُرُ ٱلۡمَرۡءُ مَا قَدَّمَتۡ يَدَاهُ وَيَقُولُ ٱلۡكَافِرُ يَـٰلَيۡتَنِى كُنتُ تُرَٲبَۢا (٤٠)

Sesungguhnya Kami telah memperingatkan kepadamu orang kafir azab yang dekat, pada hari manusia melihat apa yang telah diperbuat oleh kedua tangannya dan orang kafir berkata' Alangkah baiknya jika dahulu aku menjadi tanah.

Namun penyesalan di saat itu tentunya tidak membuahkan apa-apa erti buat mereka. Aku juga pernah alami perkara sebegini. Di mana penyesalan memenuhi isi hati. Kalaulah Allah kembalikan aku kepada peristiwa itu, tentu aku lakukan begini...begini..

Hidup dengan hanya menyesali bukanlah satu kaedah dalam penyelesaian masalah. Menyesal dan hanya menyesali tanda lemahnya diri. BANGKIT harus ada dalam kamus hati. Aku bersyukur kerana Allah masih memberi peluang untuk aku rasai penyesalan itu dalam dunia ini, bukan di akhirat sana yang penyesalan itu semestinya tidak berguna lagi.

Bila menyesali sesuatu tindakan itu, kembali pada Allah dengan taubat yang nasuha, minta Allah pimpin tangan kita menuju jalanNya yang pasti. Minta Allah pandu diri ini yang selalu lari dari fitrah yang suci. Usaha untuk berubah itulah yang sangat perlu di saat ini.

Biarlah perkara yang berlalu pergi bersama angin. Semoga langkah kaki ini tidak terseliuh lagi selepas ini. Kukuhkan ikatan hati dengan pencipta, mengadulah padaNya..di sana penawar buat hati dan diri.

Hargai apa yang kita genggam sekarang, supaya tidak timbul lagi penyesalan di hari kemudian.