
Dia tersenyum senang. Aku memandang wajahnya yang jernih. Angin sepoi-sepoi bahasa meniup kerudungnya. Dirinya kelihatan lebih matang berbanding kali terakhir aku melihatnya dua tahun lepas.
"Apa hadiah paling berharga yang pernah akak perolehi,"tanyanya ramah.
" Banyak sangat akak rasa." sangat banyak hingga aku tak terhitung jumlahnya. " Salwa?" tanyaku kembali.
Dia menyambung ceritanya...bagaimana dia menemui fitrahnya tahun lepas. Dia menelusuri kembali saat-saat hidayah menerpanya. Ramadhan 1429 Hijriah itu membawa dirinya ke alam hidayah yang sangat-sangat disyukurinya.
"Keluarga saya biasa je kak, agama memang tak dititikberatkan sangat. Yang penting kejayaan dalam karier je yang ditekankan."
Salwa gadis yang bijak, baik dan manis.
Bila diterbangkan ke bumi Leeds ini, dia sangat gembira kerana ditemukan dengan seorang kakak yang sangat mengambil berat tentang dirinya dan mengajarkan agama kepadanya.
Dia mula mendekati al-Quran dan mengutip hikmah-hikmah daripada kalam Tuhan yang indah itu.
" Mengenali jalan perjuangan Rasul dan sahabat, serta menemui erti Islam sebagaimana yang patut difahami adalah hadiah yang paling berharga buat saya kak.," sambungnya dalam getar. Aku tahu dia sedang menahan sebak di dada.
Aku tahu Salwa yang dulu tidak faham kenapa auratnya perlu di tutup. Kenapa baju perlu dipakai yang longgar-longgar.
Aku tahu Salwa yang dulu tidak kisah dengan pergaulan dengan yang bukan muhrim.
Aku tahu Salwa yang dulu mendapat islam kerana dia lahir dalam islam. Tanpa cuba memahami dan mencari pengetahuan bagaimana untuk menjadi seorang islam.
Namun aku sangat yakin, Salwa sekarang dalam mujahadah yang tak bertepi. Dia bermujahadah membuang jahiliyyah kerana dia tahu dia takkan dapat merasai manisnya iman tanpa membuang karat-karat itu.
" Solat saya tahun lepas, pada malam 25 Ramadhan itu saya rasakan sangat manis dan tak pernah saya rasa sebelum ini kak," air jernih mula mengalir dari birai matanya.
Sebening air itu, aku rasa setenang itulah hatinya sekarang. Hati kan tenang bila kembali kepada fitrah..
Sungguh ramai insan-insan seperti Salwa yang juga menemui sinar iman setelah lama tenggelam dalam kegelapan jahiliyah. Dan bila mereka memperolehi hidayah itu, mereka genggam dengan sungguh-sungguh supaya mereka akan kekal dalam sinar iman.
Allah telah menjanjikan syurga buat mereka yang berjuang untuk agamanya. Mereka yang berusaha mendaulatkan syariatnya walaupun banyak halangan. walaupun jalan ini penuh dengan duri-duri.
Cukuplah janji Allah itu penenang jiwa.
Itulah hadiah paling berharga..........
وَمَن يَعۡمَلۡ مِنَ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ مِن ذَڪَرٍ أَوۡ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤۡمِنٌ۬ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ يَدۡخُلُونَ ٱلۡجَنَّةَ وَلَا يُظۡلَمُونَ نَقِيرً۬ا
' Dan sesiapa Yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk syurga, dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikitpun'. (an-Nisa:124)

MasyaAllah,beautiful! :)
ReplyDeleteThanks for stopping by Nimr Nabighah :)
ReplyDelete