Salam alaikum..Minggu lepas anak sulung saya terjatuh sewaktu berlari di taman. Beliau terpaksa di bawa ke accident n emergency clinic (A&E) pada malam esoknya. Hari Selasa ke Fracture Clinic dan alhamdulillah tiada masalah. Hari Rabu ke Heron Practice untuk immunisation anak ke dua saya yang berumur 14 bulan. Malam itu, badannya menggeletar................
Itu merupakan salah satu contoh masalah yang dihadapi dalam kehidupan ini. Saya percaya setiap individu mempunyai masalahnya yang tersendiri. Ada yang mampu ditangani dan ada masalah yang disimpan dan dibiarkan tanpa penyelesaian.
Bila kita bertanya pada diri, bagaimanakah kita memandang sesuatu masalah itu. Kenalpasti masalah dan cubalah cari penyelesaian tapi jangan lupa pohonlah petunjukNya.
Saya juga percaya, dugaan yang saya hadapi hari ini bukanlah apa-apa jikalau dibandingkan dengan dugaan yang dihadapi oleh orang-orang yang hebat di dunia ini. Lebih hebat seseorang itu, lebih tinggilah ujiannya.
Rasulullah saw misalnya, manusia paling agung yang cabarannya juga sangat 'agung'. Bila saya menatap kisah-kisah Nabi Muhammad dalam buku ar-Rahiq al-Makhtum dan juga dalam buku-buku sirah lain, masyaAllah, tak terasa air mata mengalir membasahi pipi mengenangkan betapa hebatnya cabaran dan hebatnya ganjaran yang bakal diperolehi oleh baginda dan sahabat-sahabat.
Satu ayat al-Quran yang saya selalu ulangi apabila berhadapan dengan masalah ialah surah al-insyirah : ayat 5 dan 6.
فَإِنَّ مَعَ ٱلۡعُسۡرِ يُسۡرًا (٥) إِنَّ مَعَ ٱلۡعُسۡرِ يُسۡرً۬ا (٦
Maka sesungguhnya bersama kesusahan itu, ada kesenangan .Sesungguhnya bersama kesusahan itu, ada kesenangan.
Hati saya menjadi tenang kerana saya tahu, Allah Maha Suci daripada sifat zalim. Allah takkan menzalimi hambanya.
Sepanjang kehidupan ini, sudah banyak keajaiban ujian yang saya saksikan. Bagaimana Allah menguji saya dengan meremukkan hati saya dengan cinta dunia namun menggantinya dengan cinta yang lebih tulus, lebih mulus. Masih terngiang ucapan suami saya ," Abang minta di hadapan kaabah untuk permudahkan abang untuk kahwin, dan Allah pilih Najhan."
Allah uji saya dengan meletakkan saya di bumi yang jauh dari keluarga, dari tanah kelahiran. Di waktu kawan-kawan saya membina kerjaya, saya hanya di rumah mencuci pinggan dan membasuh pakaian, sedang cita-cita saya masih tersemat jauh di hati. Namun, Allah gantikan ke dalam diri saya tarbiyyah yang tidak putus-putus daripada suami dan sahabat. Di mana tarbiyyah yang saya tak mungkin jumpa jika saya tidak berada di sini. Allah anugerahkan saya dengan dua anak yang comel. Permata hati kami berdua. Sungguh, bersama kesusahan itu ada kesenangan.
Bila susah, kembalilah pada Allah..bila senang, jangan sekali-kali lupakan Allah.
Jadi, jika anda yang membaca coretan ini mempunyai masalah yang menghantui...Percayalah Allah menyediakan pelangi yang indah buat anda selepas memberi anda hujan, dan petir yang menyambar.

No comments:
Post a Comment